fbpx

Anna Cheong-Mei Xing mampu ‘terbang’ tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEI XING (kanan) dan Anna Cheong bersaing sengit dengan beregu Korea Selatan pada aksi suku akhir Terbuka Malaysia di Axiata Arena semalam. GAMBAR - FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Anna Cheong Ching Yik-Teoh Mei Xing mahu mencabar diri untuk bersaing dengan kelompok pemain yang berada di kedudukan ranking lebih tinggi.

Anna Cheong-Mei Xing hampir mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia sebelum dikecewakan pasangan No.6 dunia dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara 15-21, 21-23 pada aksi suku akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam.

Jika berjaya, ia mampu menjadi kejutan kedua buat pasangan ranking ke-44 dunia itu selepas terdahulu menewaskan beregu No.3 dunia, Lee So Hee-Shin Seung Chan dari Korea Selatan 18-21, 21-12, 21-15 di pusingan kedua.

Bagi Mei Xing, pemain berusia 25 tahun itu berharap prestasi ditunjukkan pada Terbuka Malaysia kali ini mampu memberikan motivasi kepada mereka untuk meraih keputusan lebih positif dalam kejohanan seterusnya.

“Sebelum ini, kami sentiasa berfikir yang kami belum cukup bagus untuk bersaing dengan pasangan utama dunia.

ANNA CHEONG (kiri) dan Mei Xing sudah melakar pencapaian membanggakan apabila berjaya mara ke peringkat suku akhir Terbuka Malaysia. GAMBAR – FARIZ RUSADIO

“Namun, kami dapat lihat yang kami mempunyai kemampuan untuk melakukannya. Ia membuktikan tiada apa yang mustahil selagi kami bekerja keras untuk meningkatkan lagi prestasi,” katanya.

Sementara itu, Anna Cheong, 24, berharap mereka dapat menguatkan mental supaya tidak mudah hilang fokus apabila turun beraksi di gelanggang.

“Dari segi permainan memang ada peningkatan dan kami tidak mudah melakukan kesilapan. Kami perlu pertingkatkan aspek kekuatan mental dan lebih fokus untuk bertahan jika bermain secara rali,” jelasnya.

Anna Cheong-Mei Xing boleh menebus kekecewaan mereka apabila dijadualkan beraksi pada saingan Malaysia Masters di Axiata Arena bermula Selasa ini.

Pasangan negara itu akan membuka tirai menentang beregu Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard di pusingan pertama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI