fbpx

50 ahli Armada sertai UMNO Temerloh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD FAHARUDDIN (depan, tiga dari kiri) menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Hazril Rizal Yusof (dua dari kanan) di Temerloh malam semalam.

TEMERLOH -Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Temerloh hari ini menerima tamparan apabila seramai 50 orang yang terdiri daripada ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tampil beramai-ramai untuk menyertai UMNO.

Lebih menarik, mereka yang diketuai oleh bekas Ketua Armada Temerloh, Muhammad Faharuddin Hashim merupakan antara pengasas awal sayap Armada Bersatu yang mengetuai hampir 300 orang ahli di bahagian Temerloh.

Menurut Muhammad Faharuddin, mereka sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan atasan parti tersebut yang didakwa tidak cakna dengan kebajikan ahli Armada di peringkat bawah.

“Sejak saya merintis penubuhan dan dilantik menjadi Ketua Armada Temerloh, pemimpin pihak atasan tidak peduli langsung nasib ahli di sini apatah lagi rakyat sejak parti Bersatu ditubuhkan dan bergerak sehingga ini.

“Ramai anak muda khususnya nasib ahli Armada di sini tidak diendah ketika mereka kehilangan pekerjaan ketika ancaman pandemik Covid-19 serta tanpa diberi peluang atau dibantu kebajikan oleh pemimpin (Bersatu) peringkat atasan sehingga kini,”katanya dalam sidang akhbar di sini malam semalam.

Muhammad Faharuddin mengetuai kumpulan seramai 50 orang bekas ahli Armada Temerloh mengisytiharkan keluar Bersatu untuk menyertai UMNO serta menyerahkan borang pendaftaran keahlian kepada Ketua Pemuda UMNO Temerloh, Hazril Rizal Yusof.

Menurutnya sejak bergerak dalam Armada, nasib dia bersama ahli bahagian itu tidak dipedulikan pemimpin Bersatu walaupun pernah mengajukan masalah tertentu berkaitan kebajikan ahli ke peringkat atasan parti itu.

Muhammad Faharuddin yang juga Ketua Penerangan Armada Pahang menjelaskan, dia sudah lama berhasrat menyertai UMNO bahagian itu dan bertekad bersama 50 ahli Armada termasuk Setiausaha, Penolong Setiausaha, Bendahari dan dua lagi ahli jawatankuasa menyerahkan borang keahlian UMNO.

“UMNO mempunyai ‘track record’ yang sempurna dari segi perjuangan sejak awal ditubuhkan khususnya membela kebajikan rakyat, manakala pemimpin UMNO dan Barisan Nasional peringkat negeri dan negara juga cukup cakna dengan kebajikan rakyat semua peringkat.

“Saya bersama rakan bekas Armada rela hati menyertai UMNO tanpa menuntut apa-apa syarat hanya semata-mata untuk bersama (UMNO) bagi mendokong perjuangan pemimpin hari ini untuk kepentingan rakyat dan negara pada masa akan datang,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI