LUMUT – Sebanyak 26 kluster Influenza-like-Ilness (ILI) masih aktif di Perak sehingga kini dengan semuanya melibatkan institusi pendidikan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, daerah Kinta mencatatkan enam kluster iaitu yang tertinggi diikuti Kuala Kangsar dan Hulu Perak masing-masing mencatatkan lima kluster.
“Bilangan kluster ini menunjukkan penurunan berbanding 35 kluster keseluruhan yang dicatatkan di negeri ini dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dan ia tidak melibatkan sebarang kematian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Denggi Asean Peringkat Negeri Perak 2022 di Sitiawan dekat sini hari ini.
Pada masa sama, menurut Mohd. Akmal, keadaan jangkitan ILI di Perak adalah terkawal dengan majoriti mereka menerima rawatan pesakit luar dan tidak perlu dimasukkan ke wad hospital.
Beliau menjelaskan, jangkitan ILI di Perak adalah selari dengan aliran kadar jangkitan penyakit itu di seluruh negara.
Mohd. Akmal menggesa ibu bapa dan warden asrama agar mengambil sikap proaktif dengan segera mengasingkan anak atau pelajar mereka yang dikesan menghidap ILI kerana ia adalah penyakit yang sangat mudah berjangkit.
Beliau memaklumkan keadaan kesesakan dan pergaulan di asrama juga antara penyumbang utama jangkitan ILI yang antara simptomnya adalah demam selesema.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Akmal menyatakan bilangan kes denggi di Perak menunjukkan peningkatan hampir 50 peratus tahun ini berbanding ketika tempoh pandemik Covid-19 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE.