PORT DICKSON – Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kejadian kes langgar lari sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Kilometer 5, Jalan Seremban – Port Dickson di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, sebelum itu pada pukul 8.30 malam semalam polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah terkesan satu video tular berdurasi 45 saat dimuatnaik pemilik akaun Twitter Manjoi8715 memaparkan kekecohan yang berlaku akibat kejadian langgar lari itu.
“Suspek berusia 21 tahun itu ditahan pada hari kejadian dan sampel darah telah diambil untuk ujian toksikologi kerana dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila suspek yang memandu dari arah Lukut menghala ke Port Dickson gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar bahagian belakang motosikal ditunggang mangsa berusia 68 tahun yang berada di hadapan kenderaan suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, satu kertas siasatan telah dibuka oleh Bahagian Siasatan Trafik IPD Port Dickson di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.