ALOR SETAR – Seorang pembantu kedai hanya terfikir akan menemui ajal apabila terperangkap hampir setengah jam dalam sebuah bilik air selepas rumah sewanya di Lorong Fajar di sini terbakar Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu, Siti Katijah Ishak, 30, berjaya diselamatkan anggota bomba yang tiba di lokasi.
Seramai 12 lagi mangsa terdiri daripada ibu Siti Katijah, Jamaliah Rejab, 58, serta adik beradik, anak saudara dan ahli keluarga lain sempat menyelamatkan diri dengan keluar menerusi bumbung rumah.
Kejadian mengakibatkan dua adiknya iaitu Siti Maimunah dan Siti Hajar cedera antaranya patah pada paha dan belakang akibat terjatuh dari bumbung, manakala anak saudara berusia enam tahun cedera pada mulut.
Menurut Siti Katijah, kejadian berlaku dengan pantas dan ketika insiden berlaku dia sedang tidur di ruang tamu rumah.
“Saya terkejut apabila ada ahli keluarga menjerit memberitahu ada api dan saya terus berlari masuk ke dalam bilik air untuk memadam kebakaran.
“Namun, api cepat marak sehingga laluan menghala ke pintu keluar terbakar menyebabkan kami semua terperangkap,” katanya di sini semalam.
Dia ditemui selepas menerima sumbangan daripada syarikat konsultan, Bioshock Ventures Sdn. Bhd. menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya iaitu Datuk Mohammad Sheikh Mohammad dan Dr. Ali Husain Abdul Kadir.
Katanya, ahli keluarga lain bertindak memanjat timbunan pakaian untuk keluar dari rumah.
“Saya orang terakhir dan tidak sempat keluar kerana keadaan api terlalu marak dengan kayu-kayu dari bumbung jatuh menyebabkan saya panik lalu masuk ke dalam bilik air,” ujarnya.
Menurutnya, sepanjang berada di dalam bilik air itu, dia hanya terfikirkan mati kerana keadaan ruang bilik air yang semakin berbahang selain hampir lemas kerana asap tebal.
Sementara itu, Mohammad Sheikh berkata, pihaknya akan membantu keluarga tersebut mendapatkan rumah sewa untuk mereka berteduh. -KOSMO! ONLINE