fbpx

Pulau Batu Puteh: Mahkamah batal saman individu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pulau Batu Putih. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Saman seorang individu terhadap Kerajaan Malaysia kerana menarik balik semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda berhubung tuntutan ke atas Batu Puteh, dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Keputusan itu dicapai oleh Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz selepas membenarkan permohonan Perdana Menteri (yang tidak dinamakan dalam tuntutan saman) dan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman itu.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili Kerajaan Malaysia ketika dihubungi wakil media berkata, mahkamah berpuas hati, Mohd. Hatta Sanuri (plaintif) tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk menyaman Perdana Menteri dan kerajaan.

Ujar beliau, hakim berkenaan juga berpendapat, subjek dalam tuntutan saman berkenaan tidak boleh diadili oleh mahkamah.

Hakim Hayatul Akmal mengumumkan keputusannya melalui sidang video, yang turut dihadiri peguam Mohaji Selamat yang mewakili plaintif.

Mahkamah turut memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM6,000 dalam masa 30 hari.

Pada 28 Mei 2021, Mohd Hatta, 45, memfailkan tindakan saman itu mewakili dirinya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dengan penarikan balik semakan terhadap keputusan ICJ oleh kedua-dua defendan.

Plaintif menyatakan, keputusan kerajaan itu dicapai tanpa membincangkan dan membentangkannya terlebih dahulu di Parlimen.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI