MIAMI, FLORIDA – Sebuah komuniti di Miami, Florida digemparkan dengan kes jenayah membabitkan dua ekor kucing yang badannya dipenggal, lapor akhbar Daily Star semalam.
Seorang penduduk di bandar Weston itu, Sergio Rodriguez hanya menemui separuh badan kucingnya, Bean yang mati pada awal Jun lalu.
Jiran-jiran memberitahu Rodriguez bahawa ini bukan kali pertama kucing ditemui mati dan dicacatkan di bandar itu, demikian menurut akhbar Miami New Times.
Dua insiden ngeri itu dilaporkan kepada Pejabat Syerif Broward (BSO). Mereka meminta penduduk melaporkan sebarang kematian haiwan yang mencurigakan di kawasan itu.
Penduduk di kejiranan itu berada dalam keadaan panik, demikian menurut laporan akhbar tempatan.
Ada yang membuat spekulasi bahawa pembunuhan itu dilakukan oleh seorang pembunuh bersiri, manakala sesetengah yang lain menuduh ia dilakukan oleh kanak-kanak bermasalah.
Seorang pegawai berkata, kecederaan pada kucing itu adalah disengajakan dan bukan berpunca daripada serangan haiwan lain.
“Kucing itu dikerat dua. Potongan itu tidak konsisten dengan gigitan atau serangan haiwan dan ia nampaknya disengajakan.
“Tiada darah pada kucing atau rumput di tempat kejadian. Bahagian belakang kucing itu tidak dipaparkan dalam gambar,” jelas media tempatan sebagai memetik laporan insiden itu. – Agensi