KUALA LUMPUR – Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri berjaya memenangi pingat gangsa Kejohanan Dunia 2022 dalam acara 10 meter (m) plaftorm seirama wanita lewat malam tadi.
Pandelela-Dhabitah meraih 298.68 mata keseluruhan selepas lima terjunan pada aksi final yang berlangsung di Arena Danube, Budapest, Hungary.
Gandingan sensasi negara itu terpaksa akur tewas 0.72 mata sahaja kepada pasangan Amerika Syarikat (AS), Delaney Schnell-Katrina Young yang meraih pingat perak dengan markah keseluruhan 299.40.
Pingat emas pula seperti diramal menjadi milik juara Olimpik Tokyo 2020 dari China, Quan Hongchan-Chen Yuxi yang langsung tidak dicabar apabila mengutip 368.40 mata.
Menariknya, ia adalah pingat pertama untuk karier Dhabitah di Kejohanan Dunia selepas gagal melakukannya dalam tiga edisi terdahulu pada 2015, 2017 dan 2019.
Ia pula merupakan pingat gangsa kedua peribadi buat Pandelela dalam edisi kali ini selepas terdahulu memenanginya dalam acara 10m platform individu.
Sebagai rekod, ini adalah kejayaan podium ketiga buat gandingan Pandelela-Dhabitah selepas terdahulu memenangi pingat gangsa Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan pingat emas Sukan SEA Vietnam 2021. – KOSMO! ONLINE