PENDATANG baharu Liga Super, Negeri Sembilan FC (NSFC) yakin mampu kekal di kelompok teratas dengan sekurang-kurangnya berada di kedudukan lima terbaik dalam kempen Liga Super musim ini.
Pengendalinya, K. Devan berkata, skuad Rusa membuktikan mampu menyaingi pasukan lain selepas menilai prestasi anak-anak buahnya dalam 11 perlawanan liga setakat ini.
Menurut jurulatih berpengalaman itu, NSFC menunjukkan aksi lebih mantap berbanding ketika awal saingan liga dengan prestasi barisan pemain juga kini berada pada tahap terbaik.
“Walaupun menduduki tangga kedua, masih terlalu jauh untuk menjadikan NSFC sebagai pencabar utama kejuaraan dalam tahun pertama kami di Liga Super.
“Kami masih dalam tempoh ‘percubaan’ walaupun kedudukan sekarang adalah sesuatu di luar jangkaan. Skuad lain di bawah yang kekurangan perlawanan masih boleh memintas NSFC.
“Begitu pun sekiranya kekal konsisten, kami boleh menempatkan diri dalam kedudukan lima teratas dan ia sudah pencapaian yang baik,” katanya selepas perlawanan kelmarin.
Terdahulu skuad Rusa berjaya mengikat Terengganu Football Club (TFC) tanpa jaringan.
Selepas 11 perlawanan, NSFC yang juga juara Liga Premier tahun lalu meraih lima kemenangan, lima keputusan seri dan satu kekalahan untuk memungut 20 mata.
Mengulas aksi bertemu TFC, Devan mengakui terpaksa turun dengan pendekatan negatif bagi memastikan pasukan bimbingannya tidak pulang dengan tangan kosong.
Menurutnya, pujian wajar diberi kepada pemain skuad Rusa yang menunjukkan disiplin bertahan bagi memastikan pintu gol mereka tidak dibocori sekali gus mengutip satu mata berharga di tempat lawan.
“Kami tidak dapat bermain dengan corak lebih terbuka atas faktor kecergasan jika dibandingkan dengan pihak lawan. Apa pun saya tetap berpuas hati mencuri mata bertemu TFC” ujarnya.