LIVERPOOL – Bekas pemain Tottenham Hotspur, Jamie O’Hara membidas Liverpool atas layanan yang diberikan terhadap pemain bintangnya, Mohamed Salah berhubung tawaran kontrak baharu.
Beliau berkata, The Reds perlu mencapai kata sepakat mengenai kontrak baharu pemain antarabangsa Mesir itu selepas mereka baru sahaja kehilangan khidmat Sadio Mane yang berhijrah ke Bayern Munich.
Salah hanya memiliki baki kontrak selama setahun bersama Liverpool dan akan meninggalkan Anfield secara percuma tahun depan sekiranya isu tersebut tidak diselesaikan segera.
“Kontrak Salah akan memasuki tahun terakhir, namun masih dia masih belum menandatangani kontrak baharu. Ia satu situasi yang cukup rumit selepas menyaksikan Sadio Mane meninggalkan pasukan.
“Mereka mendapat pulangan yang baik dengan melepaskan Mane, namun sekarang Liverpool berdepan kemungkinan untuk kehilangan khidmat Salah secara percuma tahun depan,” katanya.
Difahamkan, kedua-dua pihak masih belum mencapai kata sepakat berhubung kontrak baharu Salah selepas dia meletakkan syarat kenaikan gaji sehingga £400,000 (RM2.13 juta) seminggu.
Sebagai rekod, Salah merupakan pemain paling konsisten buat Liverpool musim lalu apabila menjaringkan 31 gol dalam 51 penampilan selain turut melakukan 16 bantuan gol. – AGENSI