Oleh NAZARUDIN SHAHARI
PORT DICKSON -Seramai 37 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di perairan Kuala Sepang, Selangor oleh bot ronda Maritim Malaysia (APMM) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan kira-kira pukul 1 pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, kesemua PATI warga Bangladesh itu ditahan selepas bot dinaiki mereka didapati memasuki negara ini melalui jalan yang tidak sah.
“Tangkapan tersebut dibuat sebaik sahaja radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia mengesan pergerakan satu kontak curiga yang sedang memasuki perairan negara sekitar pukul 11 malam semalam.
“Bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Benteng Laut telah bergegas ke lokasi dan telah menemukan sebuah bot pancung berwarna kelabu tanpa nombor pendaftaran dikedudukan kira-kira 1.2 batu nautika barat daya Kuala Sepang, Selangor,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, bot yang menggunakan dua enjin sangkut jenis Yamaha 200 kuasa kuda itu kemudian ditahan dan hasil pemeriksaan mendapati 41 orang lelaki termasuk tekong berada dalam bot berkenaan.
“Kesemua mereka terdiri daripada tekong dan tiga awak-awak warga Indonesia serta 37 orang warga Bangladesh berusia antara 18 hingga 46 tahun itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa.
“Bot bersama kesemua mereka kemudian ditahan dan diiring masuk ke jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, seterusnya diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.-KOSMO! ONLINE