DUNGUN – Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Serai yang maut dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 1, Jalan Tok Kah-Jerangau kelmarin sempat meluahkan hasrat untuk menjadi ‘penghuni’ pertama tanah perkuburan baharu di Kampung Mahsuri, di sini.
Ibu mangsa, Maizan Yaacob, 47, berkata, anaknya, Nurul Zahirah Aqrima Mohamad Yasin, 13, sering memberitahu mahu menjadi penghuni pertama tapak perkuburan baharu di Kampung Mahsuri, Tok Kah di sini.
“Setiap pagi, sewaktu dihantar ke sekolah, arwah akan pandang ke arah perkuburan itu dan beritahu dia mahu merasmikannya.
“Saya anggap ia cuma gurauan namun, tak sangka hasratnya benar-benar jadi kenyataan bila dia menjadi orang pertama disemadikan di situ pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ujarnya, sebelum ini, penduduk kampung dikebumikan di kampung sebelah, namun selepas tanah perkuburan itu penuh, tanah perkuburan baharu kira-kira 300 meter dari kediamannya itu diwujudkan.
Dalam kejadian pada 6.50 petang kelmarin, mangsa maut akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5, dipercayai keluar simpang secara tiba-tiba sebelum dirempuh Toyota Hilux dipandu seorang pembantu kedai makan berusia 41 tahun. -KOSMO! ONLINE