KUALA SELANGOR – Kedegilan pemilik sebuah kolam memproses bangkai ayam sebagai makanan ikan di Sungai Yu, Tanjong Karang di sini tidak mementingkan kebersihan membawa padah apabila disita pihak berkuasa baru-baru ini.
Penyitaan itu dilakukan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dalam Operasi Bersepadu Kacauganggu Lalat bermula pukul 10 pagi pada Selasa lalu.
Turut serta operasi itu adalah Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor dan Jabatan Perikanan Daerah Kuala Selangor dengan melibatkan 24 anggota kesemuanya.
Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS, Jefriee Abd. Manaf berkata, operasi dijalankan berikutan aduan penduduk sekitar mengenai kacauganggu lalat di kawasan tersebut.
Katanya, MPKS sebelum ini telah mengeluarkan Notis Hapuskan Kacauganggu dan Kompaun kesalahan dibawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 namun pemilik kolam masih gagal untuk mematuhi kehendak notis tersebut.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kolam ternakan ikan terbabit memproses bangkai ayam sebagai makanan kepada ternakan ikan sehingga menyebabkan kacauganggu lalat.
“Selain itu, pengurusan penyelenggaraan dan kebersihan turut tidak dititikberatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, premis itu turut didapati menjalankan operasi tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Melesen menyebabkan keraguan pembekalan kebersihan makanan mentah.
“Pemilik kolam turut dikenakan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan perindustrian 2007 dan Seksyen 82(5) Akta Kerjaaan Tempatan.
“MPKS memberi amaran kepada pengusaha-pengusaha ternakan agar sentiasa menjaga kebersihan ladang atau kolam dan mematuhi prosedur operasi standard oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan,” katanya. -KOSMO!ONLINE