PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan harga siling baharu ayam standard bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan pada kadar RM9.40 sehingga RM12.90 sekilogram berkuatkuasa hari ini sehingga 31 Ogos depan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, harga siling runcit ayam standard dilihat berbeza-beza berdasarkan lokasi bagi Sarawak iaitu RM9.80 sehingga RM12.90 sekilogram manakala bagi Pantai Barat Sabah pada kadar RM11 sekilogram dan Pantai Timur Sabah (RM11.30).
Sementara itu, di Langkawi harga siling bagi sekilogram ayam standard adalah RM9.40 dan Labuan (RM11.30).
Harga siling runcit telur ayam pula pada kadar 0.45 sehingga 0.51 sen sebiji bagi gred A, Gred B (0.43 sehingga 0.50 sen/biji) dan gred C (0.41 sehingga 0.49sen /biji).
Menurut KPDNHEP, keputusan Jemaah Menteri menetapkan harga siling dan subsidi pukal bagi ayam dan telur dibuat dengan teliti demi kebaikan dan kesejahteraan semua peringkat rakyat termasuk penternak, pembekal, peruncit dan pengguna terutamanya golongan B40 dan M40.
“Dengan pelaksanaan harga siling baharu ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM369.5 juta menjadikan jumlah keseluruhan subsidi pukal untuk ayam dan telur adalah sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Februari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, sehingga 31 Mei, sebanyak 80,179 pemeriksaan telah dijalankan di premis menjual ayam dan telur di mana pematuhan melebihi 99 peratus dengan hanya 121 kes dikesan.
“Dari sudut Akta Kawalan Harga dan Anti-pencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Kawalan Barang (AKB) 1961 pula, sebanyak 846,686 premis telah diperiksa sepanjang tahun ini dan tahap pematuhan juga didapati tinggi melebihi 99 peratus dengan 3,832 kes dikesan,” katanya. – KOSMO! ONLINE