fbpx

Dahulu dipertikai, kini lakonan Fattah buka mata ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS lebih sedekad bergelar pelakon, Fattah Amin akhirnya mampu membuka mata khalayak menerusi watak Awang dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang sedang hangat ditayangkan di pawagam.

SEBELAS tahun bergelar pelakon, Fattah Amin tidak dapat lari daripada dilabel sebagai pelakon kayu, namun lakonannya sebagai Awang dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan memberi warna baharu dalam kerja seninya.

Sebagai Awang, si handalan pemanah dalam filem epik karya Syamsul Yusof tersebut, Fattah berjaya mengejutkan khalayak dengan lakonan berkesannya.

Di sebalik ‘kebangkitan’ Awang juga ramai yang tidak tahu demi watak epik itu, Fattah sanggup berlatih memanah selama berbulan-bulan dan berjauhan dari isteri tercinta, aktres Nur Fazura ketika awal perkahwinan mereka.

“Saya bersyukur dengan reaksi penonton, terima kasih. Tetapi ramai yang tidak tahu pengorbanan yang perlu saya lakukan demi menghidupkan watak Awang.

“Saya masih ingat ketika itu saya baru berkahwin, jadual memang sangat padat apabila penggambaran dilakukan di Perak dan Pahang.

“Terpaksa berjauhan dengan isteri demi memberi komitmen 200 peratus untuk filem ini. Selain itu, saya menjalani latihan memanah selama berbulan-bulan sebelum memasuki set penggambaran,” ujar Fattah tentang filem yang menjalani penggambaran selama dua bulan itu.


JIKA dahulu pernah dilabel pelakon kayu, kini nama Fattah Amin sedang memanas dan menjadi buah mulut ramai dek kemampuan lakonannya yang semakin baik menerusi filem epik Mat Kilau.

Disoal tentang aksi silatnya yang nampak ‘hidup’ dalam filem terbitan Kembara Studio dengan kerjasama Skop Production tersebut, kongsi Fattah, sejak zaman sekolah menengah lagi dia telah melibatkan diri dengan silat Gayung Pathani.

Bahkan, aktor itu juga pernah mewakili Kuala Lumpur dalam pertandingan silat sewaktu remaja. Sungguhpun begitu, Fattah sama sekali tidak menyangka ilmu silat yang dipelajari ketika sekolah dipraktikkan dalam filem Mat Kilau.

“Saya sedar awal dahulu ketika nama saya diumumkan sebagai pelakon filem Mat Kilau, ramai yang mempertikaikan.

“Tetapi saya tidak salahkan mereka kerana tidak tahu latar belakang saya. Saya sendiri tidak pernah beritahu atau tunjuk yang saya pernah belajar silat sebelum ini.

“Saya tidak sangka akan bergelar pelakon dan ilmu silat yang dipelajari ketika remaja memberi kelebihan untuk karier pada hari ini.

“Jadi, untuk filem Mat Kilau, saya kembali berlatih silat untuk tajamkan lagi aksi yang telah lama saya tinggalkan,” kongsi Fattah.

Impian

Sambung aktor yang mula popular dengan drama Playboy Itu Suami Aku itu, sejak bergelar pelakon, sudah lama dia impikan untuk membintangi sebuah filem dan watak berkisarkan dunia persilatan.

Rezekinya hadir, saat ditawarkan watak Awang oleh Syamsul di samping bintang terkenal lain seperti Datuk Adi Putra dan Beto Kusyairy.

“Saya memang sangat minat dengan silat dan saya rasa filem Malaysia kurang mengangkat kisah pahlawan Melayu.

“Saat diberi peluang menjadi sebahagian filem Mat Kilau, saya sangat teruja dan berharap penonton berpuas hati dengan hasilnya,” ujar Fattah.

BERLAKON bersama bintang-bintang besar dalam Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan seperti Adi Putra dan Beto, sebenarnya membuatkan Fattah berasa kerdil tetapi gembira atas peluang yang diberikan.

Sambung pelakon berusia 32 tahun itu lagi, pujian tidak wajar diberi kepadanya seorang sebaliknya seluruh pasukan filem Mat Kilau.

Tanpa bantuan mereka, dia tidak mampu melakonkan watak Awang seperti yang dilihat dalam naskhah yang mendapat kutipan lebih RM18 juta setakat Rabu lalu.

“Berlakon dengan Adi Putra dan Beto yang sangat berpengalaman membuatkan diri saya terasa begitu kerdil, tetapi keserasian sangat mudah tercipta antara kami.

“Malah, pelakon lain dan pengarah sangat membantu saya membentuk karakter Awang. Ditambah hampir kebanyakan adegan aksi dilakukan oleh pelakon sendiri, hanya 20 peratus menggunakan pelakon lagak ngeri,” tutur Fattah.

Jelasnya lagi, watak Awang cukup istimewa. Itu membuatkan dia sanggup berhempas-pulas demi menghidupkan watak tersebut.

“Terlalu banyak cabarannya kerana berlakon dalam filem epik bukanlah seperti lakonan biasa. Saya juga jarang dapat watak seperti ini.

“Bagi watak Awang, saya bukan sahaja fokus pada lakonan, tetapi juga aksi silat dan memerlukan masa yang agak lama untuk melakukan persediaan,” luah Fattah.

Kerohanian, terapi

Dalam pada itu, Fattah baru sahaja melancarkan sebuah single terkini berjudul Padamu yang dicipta oleh komposer dan penyanyi, Ikhwan Fatana bersama Wan Salleh pada April lalu.

Ketika ditebak tentang haluan yang dipilihnya apabila kini dilihat semakin kerap mengeluarkan lagu-lagu berbentuk ketuhanan, pelakon itu ada prinsip yang dipegang rapi.

Katanya, era menyanyikan lagu cinta sudah berlalu dan sekarang fokusnya adalah untuk membawa serta mencuba kelainan dengan menyampaikan karya yang mampu menyebarkan kebaikan dan pada masa sama menjadi terapi buat pendengar.

LAGU Padamu menjadi cara Fattah meluahkan kesyukuran atas segala nikmat yang dikecapi selama ini.

“Selepas melancarkan beberapa buah lagu yang berkonsep ketuhanan dan kerohanian sebelum ini, saya sekali lagi terdetik nak berkongsi rasa menerusi genre sama.

“Lagu sebegini mampu menjadi terapi diri dan mengajar kita supaya sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan Tuhan,” kata Fattah yang pernah mengeluarkan lagu Kiriman Agung dan Sinar Selawat.

Kongsi bapa kepada seorang cahaya mata itu lagi, lirik asal lagu berkenaan dirombak untuk disesuaikan dengan jalan cerita yang diinginkannya.

“Lagu ini mengisahkan tentang rasa seorang hamba yang sentiasa percaya pada-Nya. Tak kisahlah sehebat mana kejayaan dikecapi atau seteruk mana kegagalan dilalui, kita masih tetap rasa cinta dan syukur bawah lindungannya-Nya.

“Lagu Padamu sebenarnya sangat ringkas tetapi paling penting di sini adalah penyampaian mesej, lirik dan melodi. Contohnya kalau kita berdepan tekanan, dengarlah lagu ini, insya-Allah akan dapat legakan dan buat kita relaks serta pada masa sentiasa ingat kepada Allah,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI