HULU TERENGGANU – Hasrat empat sekawan untuk bercuti ke Pulau Redang, Kuala Nerus tidak kesampaian apabila mereka terlibat dalam kemalangan di KM 398.1 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Ajil di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.15 petang itu, penumpang tempat duduk hadapan, Clarrisa Neo Li Shan, 28, yang juga warga Singapura maut akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan.
Rakannya, Coo Juo Sie, 30, yang merupakan warga tempatan pula patah kaki kiri selain tangan kanannya turut cedera.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sebelum kejadian, kedua-dua mangsa bersama dua rakan lain sedang dalam perjalanan ke Pulau Redang dari Kuala Lumpur.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis BMW X5 dipandu rakan Li Shan, Ng Shea Shin, 31, tiba-tiba hilang kawalan setelah dikatakan terlanggar lopak air.
“Impaknya kenderaan yag dinaiki empat mangsa terbabas lalu merempuh penghalang besi lebuh raya,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini
Mohd. Adli berkata, kemalangan berlaku dalam keadaan hujan lebat dan mayat Li Shan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini. – KOSMO! ONLINE