KAJANG – Universiti Tenaga Nasional (Uniten) menubuhkan Pusat Tenaga Nasional (NEC) bagi mendalami aspek peralihan tenaga merangkumi isu perubahan iklim, pembangunan lestari dan sumber tenaga boleh baharu (TBB) di peringkat negara dan global yang dijangka beroperasi hujung tahun ini.
Menerusi penubuhan pusat kecemerlangan nasional bertaraf antarabangsa itu, lima pusat kecemerlangan diletakkan di bawah NEC iaitu Institut Tenaga Lestari (ISE), Institut Kejuruteraan Kuasa (IPE), Institut Infrastruktur Tenaga (IEI), Institut Dasar dan Penyelidikan Tenaga (IEPRe) dan Institut Informatik dan Pengkomputeran dalam Tenaga (IICE).
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penubuhan NEC di Uniten sebagai salah satu usaha proaktif menyumbang kepakaran dalam kalangan penyelidiknya terhadap agenda pembangunan negara.
“Ia termasuk sasaran peningkatan campuran kapasiti TBB dalam pembekalan elektrik negara kepada 31 peratus menjelang 2025 dan 40 peratus pada 2035. Selain itu, komitmen mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 40 peratus pada 2030 berbanding intensiti pada 2005.
“Seterusnya, aspirasi untuk menjadi negara neutral karbon pada tahun 2050,” katanya dalam teks ucapan dibacakan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju pada Majlis Perasmian Pelancaran Awal NEC di sini hari ini.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, penubuhan NEC cukup signifikan kerana ia menggembleng usaha pelbagai pemegang taruh iaitu institut pengajian tinggi (IPT), pihak industri serta agensi kerajaan untuk bersama-sama mendalami dan mencari penyelesaian terhadap isu berkaitan tenaga. -KOSMO! ONLINE