KLANG – Sungai Candong Pulau Indah di sini tular bertukar merah menggemparkan penduduk sekitar terutama kaki pancing.
Ini seterusnya menimbulkan kebimbangan terhadap insiden pembuangan sisa industri ke dalam sungai tersebut yang akan memusnahkan habitat di lokasi tersebut.
Keadaan ini membuatkan rata-rata netizen mendesak siasatan segera oleh pihak berkuasa dalam mengesan pelakunya ekoran kejadian itu didakwa berlaku setiap bulan.
Seorang pengguna dikenali Gemoz Fread berharap siasatan terperinci dilakukan agar tindakan sewajarnya dapat dikenakan kepada penjenayah alam sekitar.
“Senang cerita, cuba malam-malam pergi sembunyi di semak-semak. Bila ada lori yang bawa tong-tong toksik itu datang nak buang ke sungai. Lepas itu, ikut mereka untuk cari kilang yang buat pencemaran,” katanya.
Bagi pengguna Hasif Fakhrullah pula kecewa dengan keadaan sungai yang tercemar teruk itu.
“Jadi air sirap bandung terus, mohon pihak berwajib datang tengok. Habislah hidupan di situ,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor, Nor Aziah Jaafar ketika dihubungi Kosmo! menegaskan pihaknya telah turun ke lokasi semalam sebaik menerima aduan daripada berhubung pencemaran tersebut.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kita sedang mengesan pelakunya,” tegasnya. -KOSMO!ONLINE