PUTRAJAYA – Kerajaan menyifatkan kewujudan ‘orang tengah’ dalam proses jual beli di Malaysia bukanlah sesuatu yang baru atau salah namun tindakan segelintir daripada mereka mengaut keuntungan secara melampau atau cekik darah adalah tidak sepatutnya berlaku.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, proses rantaian sesuatu produk itu perlu diteliti semula bagi mengelakkan ada pihak yang mengambil kesempatan sehingga mengakibatkan kos akhir kepada pengguna menjadi terlalu tinggi.
“Sebagai contoh, ayam dikeluarkan peladang dijual secara pukal kepada orang tengah sebelum ia dijual lagi kepada peruncit, namun kajian menunjukkan pengedar atau orang tengah ini memperoleh margin keuntungan yang lebih besar berbanding peruncit atau peladang.
“Ia tidak lah salah namun jika sehingga kaut keuntungan melampau atau ambil kesempatan dalam kesempitan pengguna, tindakan itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang pertama di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Jelas beliau, kerajaan akan mengenal pasti satu persatu isu berbangkit dan perbaiki dari masa ke masa termasuk mengambil tindakan selain mengakui perlu ada intervensi dari pihak kerajaan untuk menjaga kepentingan pengguna.
Dalam masa sama, ketika mengulas mengenai kesukaran untuk mendapatkan minyak masak bersubsidi dalam bentuk peket, Annuar menegaskan tindakan segera akan dilakukan bagi memastikkan produk tersebut mencukupi.
“Kerajaan beri jaminan beberapa tindakan akan dilakukan untuk memastikan bekalan minyak masak peket ini mencukupi untuk kegunaan semua Keluarga Malaysia.
“Soal bekalan ini kita sedang lakukan penelitian terperinci, bekalan banyak, namun mungkin berlaku ketirisan di mana-mana yang perlu diberi perhatian,”katanya.
Ujar beliau, kekurangan bekalan minyak masak ketika ini juga berkemungkinan disebabkan berita separa benar atau berita palsu yang disebarkan sehingga menyebabkan orang ramai mulai panik dan membeli minyak masak berkenaan melebihi daripada yang diperlukan.
“Mungkin ada berlaku ketirisan dan mungkin juga bekalan kurang selepas tersebarnya berita tidak benar yang menyatakan subsidi minyak masak dihentikan mengakibatkan ada pihak yang bimbang dan membeli lebih sehingga menyebabkan bekalannya terjejas.
“Kita sudah bincang tadi, akan ada langkah tertentu yang akan diambil. Soal tidak cukup bekalan, ada kaedah tertentu akan diambil dan akan diperbaiki dalam masa terdekat,” katanya.- KOSMO! ONLINE