LONDON – Impian bekas pemain No.1 dunia, Serena Williams untuk melakar kejutan pada aksi Grand Slam Kejuaraan Wimbledon kali ini tidak kesampaian apabila dia tewas 7-5, 1-6, 7-6 kepada pemain Perancis, Harmony Tan.
Pemain berusia 40 tahun itu kembali ke saingan kompetitif selepas setahun menyepi dengan mempamerkan aksi di Centre Court yang turut menjadi gelanggang ketika dia mengalami kecederaan musim lalu.
Ketika ramai yang menjangkakan bahawa ini adalah kali terakhir dia beraksi di Wimbledon, Serena memberi gambaran bahawa dia belum bersedia untuk menggantung raket dan masih mengharapkan keajaiban.
“Itu adalah soalan yang saya tidak boleh berikan jawapan. Saya tidak tahu. Siapa tahu, selepas ini saya mampu melakukan sesuatu yang hebat,” katanya.
Musim lalu menyaksikan Serena terpaksa menarik diri ketika aksi menentang Aliaksandra Sasnovich selepas mengalami kecederaan pada buku lali dalam perlawanan pusingan pertama kejohanan berkenaan.
Serena yang pernah meraih tujuh gelaran Grand Slam di Wimbledon kini berada di ranking ke-1,204 dunia dan menyertai saingan kali ini menggunakan tiket wildcard.
Biarpun sudah hampir setahun tanpa sebarang aksi, Serena masih berjaya membuktikan kemampuan dan mengekalkan tahap kecergasan terbaik apabila berjaya mengheret Tan untuk beraksi di tie-break pada set ketiga sebelum akur dengan 10-7 pada penentuan tersebut. – AGENSI