SEREMBAN – Seorang peniaga bakso didenda RM100,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memberi rasuah RM200,000 kepada pegawai polis agar lima rakannya tidak dikenakan tindakan berhubung kes penipuan pelaburan.
Tertuduh, Mohd. Zaed Asan, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed. Mahkamah mengarahkan lelaki itu dipenjara 24 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh bersama seorang suspek yang masih bebas didakwa memberikan suapan wang RM200,000 kepada polis sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lima rakannya yang ditahan semasa serbuan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai.
Mereka ditahan atas kesalahan jenayah penipuan pelaburan di sebuah apartment pada 13 November 2021.
Kesalahan itu dilakukan di dalam kereta jenis Volkswagen Passat di tepi jalan berhampiran Nilai Square Commercial Centre pada pukul 1.20 pagi, 14 November 2021. Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, peguam Kamal Adha Mohd. Harozi memohon hukuman yang ringan dikenakan ke atas anak guamnya, seorang peniaga bakso yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak yang masih kecil.
“Tertuduh mengaku salah dan sudah insaf serta tidak akan mengulanginya lagi. Tertuduh mahu hukuman berbentuk denda dan dia hanya mengikut arahan suspek iaitu rakannya yamg masih bebas.
“Tertuduh juga memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dilakukan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan serius yang dilakukan tertuduh.
Wan Shaharuddin turut memuji tindakan tiga anggota polis dalam es tersebut yang tidak gelap mta dengan rasuah ratusan ribu ringgit yang ditawarkan.
Mahkamah menetapkan wang RM200,000 tersebut dilucut hak melalui Ketua Pesuruhajaya SPRM kepada kerajaan Malaysia. – KOSMO! ONLINE