PETALING JAYA – Nyanyian semula sebuah lagu balada rock malar segar, Tiara dendangan asal kumpulan era 1980–an, Kris kini menjadi perdebatan peminat dalam laman sosial.
Semua itu susulan cara dendangan seorang penyanyi popular dari Indonesia, Raffa Affar yang dikatakan telah merosakkan melodi dan keaslian lagu berkenaan.
Menerusi satu klip video dari seberang yang tular ketika ini menyaksikan penyanyi yang pernah mencipta fenomena dengan lagu tular, Cinta Sampai Mati itu menyanyikan kembali lagu Tiara dalam sebuah program hiburan rancangan siaran langsung.
Meninjau komen-komen, penyanyi yang mempunyai pengikut lebih 22 juta dalam YouTube itu menerima pelbagai kecaman dan dituduh merosakkan lagu tersebut.
Orang ramai terutamanya peminat dari Malaysia menganggap penyanyi muda itu tidak layak untuk menyanyikan kembali lagu berstatus ‘legenda’ ciptaan Datuk M . Nasir itu.
“Rosak lagu alunan tidur aku, lagu ni legenda Malaysia, tak faham juga suara tak ada nada macam ni ada peminat berjuta.
“Suara tak lepas konon mendayu-dayu kemudian ‘claim’ lagu mereka, ” jelas Armada Jaafar.
“Dia ni kalau secara langsung memang rosak la lagu, kalau rekod pun tak sedap mana suara dia.
“Hilang mood aku nak dengar lagu pilihan hati ni, Tiara ini antara lagu terhabat zaman 80-an dulu, ” jelas Irfan Nor. –
KOSMO! ONLINE