BERGELAR artis pasti tidak akan terlepas dengan segala tohmahan, cacian, makian dan kritikan melampau daripada netizen.
Begitu juga yang dihadapi IU yang sebelum ini teruk berdepan dengan segala macam kecaman daripada netizen hingga mencemarkan nama baik dan imejnya sebagai selebriti.
Terbaharu, Edam Entertainment mendedahkan bahawa individu yang meninggalkan komen buruk dan melakukan serangan siber itu telah dijatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan.
“Semua kesalahan yang dilakukan individu itu termasuk tuduhan kebencian serta penghinaan telah diperakui. Hakim mengatakan bahawa tindakan tersebut sangat keji.
“Mahkamah sebulat suara menjatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan dengan dua tahun tempoh percubaan kepada pesalah.
“Tidak setakat itu, pesalah juga perlu menjalani 180 jam khidmat komuniti masyarakat dan 40 jam kelas syarahan mengenai keganasan seksual,” tulis agensi seperti dipetik Soompi.
Terdahulu, IU sering menjadi mangsa serangan seorang netizen yang dipercayai YouTuber menerusi muat naik hantaran dalam media sosial berbaur kecaman dan hinaan hingga menjejaskan reputasinya sebagai selebriti popular.