KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Datuk Lokman Noor Adam agar beliau menjelaskan mengapa tindakan menghina mahkamah tidak boleh dikenakan terhadapnya kerana menghalang tugas anggota polis pada perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu dan mengarahkan beliau hadir bersama-sama peguamnya Isnin ini bagi memberi penjelasan kepada mahkamah.
Hakim Collin menetapkan demikian berikutan aduan yang dibangkitkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran ketika perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan Presiden UMNO.
Ketika mahkamah kembali bersidang selepas ditangguhkan beberapa minit, Raja Rozela memberitahu, Lokman Noor yang hadir mengikuti perbicaraan itu telah mempertikaikan sistem perundangan yang didakwanya tidak adil serta memanggil anggota polis bertugas yang dikenali sebagai Lans Koperal Walter, `bodoh’.
Raja Rozela menjelaskan, Walter memaklumkan kepadanya beliau telah menegur Lokman Noor yang duduk di galeri awam agar berhenti `bermain telefon’ ketika mahkamah bersidang.
Ujar beliau, Lokman Noor bagaimanapun tidak berpuas hati dengan teguran itu dan didakwa mempersoalkan tindakan anggota polis tersebut dengan memanggilnya `bodoh’ serta menuduh sistem perundangan tidak adil.
Sehubungan itu, Raja Rozela memohon Lokman Noor dikenakan tindakan menghina mahkamah dan memberi penjelasan serta merta bagi mengelakkannya melarikan diri.
Bagaimanapun, Lokman Noor kemudian bangun menjelaskan, beliau hanya mencatat prosiding menggunakan telefon bimbit manakala ada pihak pula membuat catatat menggunakan komputer riba.
“Saya hanya mencatat, saya boleh menunjukkan bukti. Mengapa orang lain boleh buat perkara sama menggunakan laptop (komputer riba) tetapi saya tidak boleh, ini tidak adil,” jelas beliau.
Dalam pada itu, salah seorang peguam yang mewakili Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal mencelah selaku amicus curiae (sahabat mahkamah) sambil mencadangkan Lokman Noor diberi masa untuk melantik peguam.
Hakim Collin kemudian memberinya peluang sehingga Isnin ini supaya hadir bersama-sama peguam bagi menjelaskan mengapa tindakan menghina mahkamah tidak dikenakan terhadapnya.
Pada 15 Julai 2021, Lokman Noor dipenjara sebulan oleh Hakim Collin kerana menghina mahkamah selepas didapati mengugut saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Collin berpuas hati tindakan Lokman Noor membuat laporan polis terhadap bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, menjurus kepada intimidasi dan ancaman. – KOSMO! ONLINE