fbpx

Enam syarikat telco setuju laksana rangkaian 5G

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Annuar ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis Perjanjian Kerjasama Program Country Digital Acceleration antara TM dan Cisco International Limited di sini hari ini.- Foto FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan enam syarikat telekomunikasi (telco) akan menandatangani perjanjian memiliki kepentingan ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB) bagi pelaksanaan rangkaian 5G negara.

Menurut beliau, rundingan telah dilakukan dan telah mencapai persefahaman tertentu namun pengumuman rasmi mengenai perkara itu bakal dibuat pada 8 Julai ini.

“Hanya mengambil masa tujuh hingga lapan hari lagi untuk pengumuman rasmi dibuat, apa yang boleh saya katakan ketika ini bahawa semuanya mengikut perancangan dan berada pada landasan yang betul.

“Semua akan terlibat (everybody will be on board), akan ada enam syarikat telco sahaja yang mempunyai rangkaian, tiga adalah mereka yang mempunyai spektrum tetapi tidak mempunyai rangkaian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Perjanjian Kerjasama Program Country Digital Acceleration (CDA) antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Cisco International Limited di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai jumlah peratusan pegangan ekuiti DNB bagi setiap syarikat telco, Annuar memaklumkan peratusan tersebut akan dibahagikan secara sama rata berdasarkan bilangan penyertaan.

“Kami menawarkan semua 70 peratus (pegangan ekuiti) dan ia akan dikongsi sama rata, dibahagikan dengan bilangan peserta,” ujarnya.

Jelas Annuar, segala kebimbangan mengenai ketelusan perkhidmatan rangkaian tersebut dan penetapan harga ‘Tawaran Akses Rujukan’ (RAO) telah pun diselesaikan.

Terdahulu media tempatan sebelum ini melaporkan perjanjian 5G bersama DNB telah dicapai oleh enam syarikat telco menerusi terma perjanjian yang tidak mengikat selain menyatakan syarikat telco berkenaan bersetuju untuk mengambil alih pegangan di dalam DNB pada awal Julai ini.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI