PETALING JAYA – Cubaan empat lelaki menawarkan rasuah sebanyak RM25,000 kepada pegawai kanan polis gagal apabila ditahan menerusi Ops Kontraban dijalankan di sebuah premis sekitar Kepong, semalam.
Difahamkan, operasi itu dijalankan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK), Pasukan Gerakan Khas (PGK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, salah seorang daripada suspek pernah ditahan di lokasi yang sama pada 16 Mac lalu dengan nilai rampasan berjumlah RM736,658.
“Dua lelaki tempatan berusia 40 dan 46 tahun itu telah ditahan ketika menawarkan sogokan berjumlah RM25,000 kepada pegawai kanan polis.
“Kita turut memberkas dua lagi suspek lelaki berusia 26 tahun dan seorang warga Sri Lanka berusia 30 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, pihaknya turut membuat rampasan 34,536 tin minuman keras jenis bir, 889 botol minuman keras jenis ‘liquor’, dua buah kenderaan pacuan empat roda dan wang tunai berjumlah RM42,157.
Jelas Noorsiah, nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM1.22 juta.
Katanya, kesemua suspek kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE