PETALING JAYA – Penyanyi muda Yazmin Aziz gembira apabila impiannya untuk memiliki sebuah kereta sendiri pada usia 21 tahun tercapai selepas membeli sebuah kenderaan jenis pelbagai guna (SUV) CRV Honda.
Ujar penyanyi berdarah kacukan Melayu dan Filipina itu, selama ini dia terpaksa meminjam kereta atau menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk bergerak ke mana sahaja termasuk membuat persembahan.
“Selepas berpindah ke Malaysia dari Manila, Filipina bersama keluarga sekitar 10 tahun lalu, kami memiliki sebuah kereta jenis Myvi.
“Kereta tersebut banyak berjasa, namun usianya lebih tua berbanding adik bongsu saya. Ditambah bilangan ahli keluarga yang semakin ramai.
“Selama beberapa bulan saya perlu meminjam kereta untuk bergerak ke mana-mana atau menggunakan khidmat e-hailing,” ujarnya.
Kata bekas peserta Big Stage musim kelapan itu lagi, dia tekad membeli sebuah kereta demi keselesaan bukan sahaja buat dirinya, bahkan juga keluarga dan perlu bekerja keras untuk merealisasikan impiannya.
“Saya memasang impian untuk memiliki kereta pada usia 21 tahun. Tuhan bagaimanapun memakbulkan doa saya sebelum sambutan ulang tahun kelahiran saya. Saya sangat bersyukur.
“Tidak salah sebenarnya untuk pasang impian pada usia muda. Malah impian itu juga membuatkan saya perlu bekerja lebih keras lagi.
“Kepada anda yang memiliki impian seperti saya, jangan berhenti bermimpi,” kata Yazmin yang kini dalam usaha untuk mendapatkan lesen memandu.
Selepas memiliki kereta, penyanyi berusia 20 tahun itu kini berhasrat membeli sebuah rumah pula untuk keluarganya.
Walaupun sedar perkara tersebut sukar, dia tidak akan pernah berhenti berdoa dan bekerja keras supaya impiannya tercapai untuk memiliki sebuah kediaman sendiri.
Sekadar info, Yazmin mula aktif sebagai penyanyi pada 2017 dan telah mengeluarkan single sulungnya berjudul Lihatlah pada 2018 dan diikuti dengan beberapa single lain seperti Heart & Soul, Cold Rainy Days dan Soul Connection. – KOSMO! ONLINE