MUNICH – Sekalipun sudah berjaya mendapatkan Sadio Mane, Bayern Munich mungkin berdepan kesukaran untuk terus memonopoli saingan Bundesliga musim depan.
Peringatan itu dibuat oleh bekas pemain kebangsaan Jerman, Jurgen Kohler yang turut melabel Borussia Dortmund sebagai pasukan pilihan sekaligus meletakkan misi Bayern Munich untuk menoktahkan kejuaraan ke-11 dalam situasi bahaya.
Perubahan yang sedang dilakukan dalam pasukan Borussia Dortmund juga menguatkan lagi pendapat Kohler yang Edin Terzic mampu menghadirkan sesuatu buat skuad Die Schwarzgelben.
“Bagi saya, Dortmund adalah pilihan utama untuk menjuarai kejohanan tahun ini, bukannya Bayern,” kata Kohler sambil merujuk kepada perubahan yang dijangka berlaku di jentera serangan Bayern Munich selepas bintang sensasinya, Robert Lewandowski berhasrat meninggalkan pasukan.
Walaupun memuji langkah yang diambil ketika menandatangani Mane daripada Liverpool, Kohler merasakan bintang Senegal itu bukannya calon pengganti yang paling tepat untuk menggantikan Lewandowski.
Selain masalah penyerang yang mungkin terpaksa dihadapi, Bayern Munich juga dijangka berdepan isu di barisan belakang terutamanya selepas perpidahan Javi Martinez.
Walaupun Dortmund sudah kehilangan Erling Haaland yang berhijrah ke Manchester City, Kohler merasakan tindakan pantas kelab itu mendapatkan Karim Adeyemi dan Nico Schlotterbeck mampu meletakkan pasukan di landasan tepat.
“Dengan pelaburan yang dilakukan oleh Dortmund, mereka berpeluang untuk memenangi sekurang-kurangnya satu piala dan memecah dominasi Bayern Munich,” jelasnya. – AGENSI