fbpx

Anna-Mei Xing ‘gegar’ Terbuka Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aksi pemain beregu wanita Malaysia, Anna Ching Yik Cheong dan Teoh Mei Xing sewaktu menentang pemain Korea pada perlawanan pusingan kedua Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Kejutan terbesar pada Kejohanan Badminton Petronas Terbuka Malaysia dilakar beregu wanita No. 4 negara, Anna Cheong-Teoh Mei Xing apabila menyingkirkan gandingan utama Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan di pusingan kedua hari ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil itu, Cheong-Mei Xing menunjukkan semangat juang tinggi apabila mencatat kemenangan tiga set 18-21, 21-12, 21-15 ke atas beregu No.3 dunia itu.

Beraksi di laman sendiri nyata menjadi kelebihan buat wakil negara itu selepas menyifatkan pergerakan angin di dalam gelanggang membantu kemenangan mereka ke atas So Hee-Seung Chan.

“Kami bermain di laman sendiri dan angin dalam gelanggang agak kuat sehingga menyebabkan beregu Korea tidak selesa, jadi kami gunakan kelebihan itu untuk catat kemenangan.

“Saya dan Anna (Cheong) banyak berbincag ketika di dalam gelanggang dan jurulatih juga minta kami menghantar bola ke belakang kerana bulu tangkis sering tersangkut di jaring,” kata Mei Xing selepas tamat perlawanan.

Dalam pada itu, dia juga mengakui mula mendapat keyakinan bagi menampilkan aksi sama menjelang pusingan suku akhir bertemu sama ada beregu Thailand atau Jepun esok.

“Bagi aksi suku akhir esok, kami perlu berikan fokus 100 peratus jika mahu hasilkan keputusan seperti hari ini. Apabila melangkah ke dalam gelanggang, peluang adalah 50-50 tidak kira siapa lawan kami.

“Apa yang paling penting adalah perlu yakin dan tampilkan kombinasi terbaik dalam permainan. Saya tahu masih ada peluang untuk kami tingkatkan permainan sendiri,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI