SHAH ALAM – Sebanyak 143,630 notis saman telah dikeluarkan kepada warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli berkata, jumlah tersebut melibatkan 136,448 warga asing dari tahun 2019 sehingga bulan Mei tahun.
“Bagi Selangor pula, sebanyak 6,851 notis saman dikeluarkan kepada 566 warga asing dalam tempoh sama.
“Kebanyakan kesalahan adalah tidak mempunyai lesen memandu termasuk lesen kenderaan motor dan kenderaan perkhidmatan awam,” katanya dalam Ops Pemandu Warga Asing (PeWA) di Seksyen 25, di sini, hari ini.
Mengulas berhubung Ops PeWA hari ini, beliau memberitahu sebanyak 714 buah kenderaan telah diperiksa dalam operasi bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Kata Aedy Fadly, hasil pemeriksaan mendapati 22 buah kenderaan disita selain turut mengeluarkan 132 notis saman.- KOSMO! ONLINE