SEBERANG PERAI – Zakat Pulau Pinang (ZPP) akan mempertimbangkan untuk menilai semula kadar zakat yang berhak diterima golongan asnaf atau ‘mustahiq’ ketika ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, kadar zakat itu meliputi skim-skim zakat yang melibatkan sara hidup termasuk bagi bekalan makanan bulanan dan bekalan ubat-ubatan bagi pesakit kronik dalam kalangan asnaf.
“Dalam hal ini, ZPP sedar akan kerisauan masyarakat dengan impak yang bakal dihadapi khususnya oleh golongan asnaf fakir dan miskin ekoran polisi terkini kerajaan yang berkemungkinan memberi kesan kepada harga barangan keperluan harian.
“Oleh itu, ZPP turut menerima baik cadangan pihak ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) agar pusat zakat melonggarkan garis panduan dalam menentukan syarat seseorang itu layak menjadi asnaf,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Amran berkata, pihaknya juga mengambil maklum tentang pengumuman kerajaan berhubung kemungkinan berlakunya kenaikan beberapa item barangan keperluan harian ekoran penarikan semula subsidi terhadap barangan berkenaan.
Sebagai makluman katanya, ZPP baru sahaja menyemak semula kadar Had Kifayah umat Islam di negeri Pulau Pinang pada tahun 2021 yang lalu.
“Kadar Had Kifayah ini telahpun diluluskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang sebagaimana yang disyorkan melalui satu kajian dan penyelidikan yang dijalankan pada tahun 2020.
“Bertitik-tolak dari situ, maka, ZPP telah menaikkan kadar saguhati sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini iaitu daripada RM450 kepada RM600 untuk golongan miskin selain menaikkan kadar bayaran daripada RM500 kepada RM700 untuk golongan fakir pada masa yang sama,” katanya.
Pada masa kini, Amran berkata, kadar zakat yang diberikan bagi tujuan sara hidup bulanan di Pulau Pinang adalah antara RM300 hingga RM600 (bergantung kepada saiz keluarga) dan ini tidak termasuk sewa rumah dengan kadar maksimum sebanyak RM400 sebulan. KOSMO! ONLINE