KUALA TERENGGANU – Kematian budak lima tahun disengat tebuan tanah di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus pada Ahad lalu merupakan kes kelima seumpama itu di negeri ini dalam tempoh lima tahun.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Muhammad Basri Kamaruzaman berkata, empat kes kematian sebelum itu turut melibatkan kanak-kanak yang berumur tiga, lapan (dua kes) dan 11 tahun sejak tahun 2017.
Katanya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 956 panggilan kecemasan diterima JBPM Terengganu daripada orang ramai memohon memusnahkan sarang serangga berbisa terbabit.
“Kita turut menerima 150 penggilan kecemasan berhubung ancaman tebuan sejak awal tahun dan ia dijangka bertambah dengan ketibaan musim panas pada masa ini.
“Tebuan sangat aktif ketika cuaca lembap dan panas dan kita menjangkakan akan menerima aduan lebih 100 panggilan sehari
tentang ancaman serangga tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Muhammad Basri berkata, tebuan tanah gemar bersarang di kawasan berlubang, siling rumah dan pokok-pokok renek.
Kosmo! kelmarin melaporkan mangsa, Eidrish Mohd. Khalid, 5, maut setelah terkena lebih 60 sengatan tebuan ketika bermain di taman permainan hadapan rumah datuknya. – KOSMO! ONLINE.