KOTA BHARU – Taktik tiga pengedar dadah menggunakan kotak sebuah syarikat kurier untuk menyimpan 84,000 biji pil kuda bernilai RM840,000 bagi mengaburi mata pihak berkuasa gagal apabila mereka dicekup di Kampung Jejuluk, Banggu di sini kelmarin.
Dalam tangkapan kira-kira pukul 3 petang itu, suspek berusia 27 dan 29 tahun berada di dalam sebuah kereta jenis Honda Jazz manakala seorang lagi suspek berusia 33 tahun sedang menunggang motosikal jenis Honda Icon.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa serbuan, pihaknya menemui satu kotak syarikat kurier di tempat duduk penumpang belakang kereta tersebut dan di dalamnya terdapat 14 bungkusan mengandungi pil kuda.
“Kumpulan itu dipercayai aktif mengedar pil kuda sejak awal tahun ini. Pil yang dirampas dipercayai untuk dijual untuk pasaran negeri ini dan luar Kelantan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki berkata, polis menemui wang RM3,950 dipercayai hasil penjualan dadah.
Susulan penahanan tiga lelaki itu, salah seorang suspek memberi maklumat kepada polis mengenai kegiatan seorang lagi anggota sindiket yang menyimpan 168,000 pil kuda bernilai RM1.68 juta di sebuah rumah di Kampung Takang, Tawang dekat Bachok pada hari sama.
Polis menahan seorang lagi lelaki berusia 33 tahun yang menyimpan dadah tersebut dan menyita kereta Perodua Myvi. Dalam dua serbuan, polis merampas 252,000 biji pil kuda bernilai lebih RM2.5 juta.- KOSMO! ONLINE.