fbpx

‘Serik makan makanan pedas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Trend suka makan makanan pedas di negara ini turut dipengaruhi menu popular dari luar negara yang menawarkan hidangan pedas luar biasa. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Rakyat Malaysia dan makanan pedas memang tidak dapat dipisahkan, malah boleh dikatakan sebahagian hidangan makanan utama di negara ini terdiri daripada makanan-makanan pedas.

Namun, makanan pedas yang diambil secara kerap berisiko tinggi memudaratkan kesihatan.

Seorang suri rumah, Nur Sahira, 28, berkata, dia serik makan makanan pedas secara tidak terkawal sehingga menghidap penyakit Gastro Esofagus Refluks Disease (Gerd) atau reflux.

Nur Sahira berkata, segalanya bermula sejak berumur 16 tahun lagi apabila dia gemar makan makanan pedas walaupun dalam keadaan perut kosong.

“Selepas habis sekolah, saya suka makanan yang lebih pedas sehinggakan apabila makan di luar, saya akan pesan sesuatu yang lebih pedas.

“Waktu itu juga, saya tidak begitu menjaga jadual pemakanan, ada kalanya perut kosong hingga ke lewat petang dan apabila makan, saya terus mengambil makanan pedas,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Katanya, dari situlah dia mula menghidap gastrik sehingga mengalami pitam dan terpaksa mengambil ubat tahan sakit.

“Pada waktu itu, saya belum didiagnosis dengan penyakit Gerd lagi, cuma gastrik biasa, namun gastrik juga sakit, terasa seperti perut ditoreh-toreh.

“Ubat biasa juga tidak berkesan, yang berkesan hanyalah ubat tahan sakit yang dicucuk di punggung atau menggunakan ‘drip’ sahaja,” ujarnya.

Nur Sahira berkata, dia sudah merasa kedua-dua penyakit itu, namun gastrik lebih sakit daripada Gerd.

“Gerd memberi kesakitan kepada organ dalaman selain perut.

“Paling menakutkan apabila berasa sakit di bahagian dada kerana kita akan fikir kita me­ngalami masalah jantung. Hem­pedu atau hati juga boleh rosak kerana asid perut meningkat,” katanya.

Jelasnya, paling mendebarkan apabila doktor memaklumkan penyakit Gerd juga boleh menyebabkan kanser perut dan kanser hati.

“Apabila doktor sudah kata begitu, saya terus takut dan nekad mahu mengubah cara pemakanan. Dahulu lidah saya sangat kuat pedas sehingga makanan dua ke tiga kali pedas yang ter­kenal sekarang, saya rasakan ia masih kurang pedas.

“Nasihat saya kepada penggemar makanan pedas, biarlah berpada-pada dan biar rasa pedas itu datang daripada sayuran atau buah-buahan, bukan perasa sebagai contoh ramen pedas yang memang terkenal kini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI