fbpx

Pijak kepala pemuda sampai mati, peniaga dihukum gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh, diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Tinggi Melaka, hari ini

MELAKA – Seorang peniaga dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah memijak kepala seorang pemuda yang tidak dikenali sehingga menyebabkan kematian, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin memutuskan hukuman itu terhadap tertuduh, S Pandiaraj, 33, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pembelaan.

Tertuduh kelihatan tenang dan menoleh ke belakang memandang wajah ahli keluarganya ketika hukuman itu dibacakan hakim.

Ahmad Nafsy dalam penghakimannya berkata, setelah meneliti keterangan fakta forensik dan laporan bedah siasat, mahkamah mendapati mangsa, S. Ammos Devaprraven, 27, meninggal dunia akibat dipijak oleh tertuduh.

Katanya, mahkamah mendapati kecederaan dialami si mati tidak konsisten dengan kemalangan jalan raya seperti yang dilaporkan oleh saksi kejadian.

Jelasnya, kematian itu disebabkan tindakan tertuduh yang telah mencederakan mangsa sehingga menyebabkan kematian.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas membunuh Ammos Devaprraven di Jalan Tun Ali di sini pada pukul 4.30 pagi, 23 Oktober 2016. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Pengarah Pendakwaan negeri, Ahmad Sazali Omar dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nabilalif Mohd. Rosli dalam hujahan menegaskan dua saksi mengatakan mangsa dipijak di kepala atas jalan tar oleh tertuduh selama satu minit.

Ujarnya, saksi kemudian membawa mangsa ke Hospital Melaka dan membuat laporan palsu bahawa si mati telah dilanggar lari. Saksi kemudiannya menghubungi abang si mati memaklumkan adiknya telah dipijak.

Menurut saksi, kejadian itu berlaku disebabkan tertuduh tidak berpuas hati dengan kata-kata mangsa yang mengeluarkan perkataan ‘orang mabuk apa dia cakap hari ini, esok dah lupa’. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI