LONDON – Legenda Chelsea yang juga merupakan penasihat teknikal dan prestasi kelab itu, Petr Cech menjadi individu terbaharu ditunjukkan jalan keluar oleh pemilik baharu The Blues, Todd Boehly.
Cech turut menjadi ‘mangsa’ selepas Boehly sebelum ini dilaporkan turut memberikan tekanan kepada pengarah kelab, Marina Granovskaia serta pengerusi kelab, Bruce Buck meletakkan jawatan masing-masing.
“Ia menjadi satu kesempatan yang istimewa buat saya untuk memikul tanggungjawab yang diberikan oleh kelab sebelum ini untuk tempoh tiga tahun lalu. Selepas kelab ini sudah mempunyai pemilik baharu, saya fikir ini adalah masa yang sesuai untuk mengundurkan diri.
“Saya berharap kelab ini akan kekal dengan meraih banyak kejayaan bersama pemilik baharu dan yakin mereka akan menjadi pasukan yang berjaya di dalam dan di luar padang,” kata Cech melalui satu kenyataan yang disiarkan di laman sosial kelab itu.
Bagaimanapun, situasi terbaharu itu mengundang resah para peminat Chelsea yang melihat peletakan jawatan beberapa individu penting kelab itu sebagai suatu yang tidak baik untuk masa depan The Blues.
“Sekarang, saya mula takut melihat perancangan pemilik baharu. Mereka sedang ‘merosakkan’ struktur kelab yang ada apabila memecat mereka yang memahami dan mengetahui selok-belok kelab ini,” kata seorang penyokong.
Salah satu lagi komen menyebut, Chelsea berdepan risiko besar apabila terlalu banyak perubahan drastik dilakukan dan ia bukanlah situasi yang baik untuk kelab itu.
“Tuchel pernah menyebut sangat gembira bekerja dengan ketiga-tiga individu berkenaan, tetapi mereka sudah tidak ada. Beliau sudah banyak mengulanginya,” jelas seorang lagi peminat tegar Chelsea. – AGENSI