fbpx

NATO kerah 300,000 askar untuk halang kemaraan Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KENDERAAN berperisai briged pasukan tindak balas pantas NATO tiba di Fredrikstad, Norway pada 10 Mac lalu bagi menyertai latihan ketenteraan. – AFP

BRUSSELS, BELGIUM – Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan mengerahkan lebih 300,000 askar sebagai persiapan menghadapi ancaman Russia dalam kerahan tentera terbesar sejak Perang Dingin.

Menurut akhbar The Sun, peningkatan bilangan tentera itu adalah tindak balas terhadap pencerobohan Russia ke atas Ukraine, yang bukan ahli NATO.

Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg berkata, semua 30 negara anggota pakatan itu me­nganggap Russia sebagai ancaman terbesar dan paling signifikan terhadap keselamatan blok ber­kenaan.

“Ini merupakan rombakan terbesar dalam inisiatif  pencegahan dan pertahanan NATO sejak Perang Dingin.

“Kami akan mengubah Pasukan Tindak Balas NATO (NRF)  dengan meningkatkan bilangan anggota tentera yang berada dalam kesiapsiagaan tinggi ke­pada lebih 300,000,” katanya pada sesi taklimat di ibu pejabat NATO di Brussels kelmarin.

Antara kebimbangan utama yang tercetus adalah kemungkinan Presiden Vladimir Putin menyerang Latvia, Lithuania dan Estonia. Tiga negara itu pernah diperintah oleh  Moscow.

Stoltenberg berkata, NATO juga akan memperkuatkan unit-unit yang ditempatkan di lapan negara anggota di  timur dan tenggara Eropah bagi menghalang pencerobohan Kremlin.

Saiz pasukan tentera juga akan ditingkatkan kepada pe­ringkat briged  yang terdiri daripada 3,000 hingga 5,000 anggota tentera.

Sebagai tambahan, lebih banyak senjata berat termasuk sistem pertahanan udara akan ditempatkan di barisan hadapan, manakala lebih ramai askar akan  tentera dikerah untuk mempertahankan anggota-anggota NATO tertentu.

NATO ketika ini hanya mempunyai 40,000 askar dalam keadaan kesiapsiagaan yang tinggi tetapi lebih 300,000 anggota tentera tambahan akan ditempatkan untuk bertindak jika berlaku kecemasan.

Seorang pegawai NATO ber­kata, sistem baharu itu akan beroperasi tahun depan sekali gus meningkatkan keupayaan pakatan tersebut untuk bertindak balas dalam masa yang singkat de­ngan bantuan aset ketenteraan di darat, laut dan udara. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI