PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi Lufya Omar membuat laporan polis berhubung dakwaan dicederakan dengan sebatang kayu oleh seorang lelaki dalam insiden cubaan menculik anaknya di sebuah taman permainan di Kota Damansara pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan telah menerima laporan dibuat pelakon terbabit.
“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kota Damansara kira-kira pukul 6.59 pagi hari ini.
“Bagaimanapun, proses merakam keterangan Lufya masih belum dilakukan berikutan pelakon terbabit mempunyai urusan penting dan perlu ke lokasi lain sejurus membuat laporan,” katanya di sini hari ini.
Mohamad Fakhrudin memberitahu, pihaknya memandang serius dakwaan ada individu cuba menculik anak pelakon itu dan proses merakam keterangan akan dilakukan bagi membantu siasatan.
Kosmo! semalam melaporkan, Lufya mengalami kecederaan pada wajah, kepala dan badan selepas dipukul dengan batang kayu oleh seorang lelaki dipercayai mahu menculik anaknya.
Berkongsi detik cemas tersebut menerusi Instagramnya, Lufya mendedahkan, kejadian tersebut berlaku ketika dia membawa anaknya, Laana Haura, 5, ke sebuah taman permainan di Kota Damansara kira-kira pukul 4 hingga 5 petang.
Lufya turut memanjatkan kesyukuran apabila dia dan anaknya selamat dalam kejadian tersebut selepas bergelut dengan penyerang itu. – KOSMO! ONLINE