TORONTO – Status sebagai penerima bayaran termahal dalam saingan Liga Bola Sepak Major (MLS) Amerika Syarikat tidak akan pernah beri tekanan tambahan buat Lorenzo Insigne untuk cuba menghadirkan kejayaan buat pasukan baharunya, Toronto FC.
Pemain antarabangsa Itali itu muncul bintang dunia terbaharu yang mengambil keputusan untuk menyertai saingan MLS selepas Los Angeles FC berjaya mengikat kapten Wales, Gareth Bale daripada Real Madrid.
Untuk mendapatkan khidmat Insigne, Toronto FC terpaksa berdepan saingan dengan beberapa kelab lain dan perjanjian empat tahun ini membabitkan pelaburan bernilai $15 juta (RM66 juta) semusim sekali gus mengatasi pendahulu pemain termahal sebelum ini, Xherdan
Shaqiri (Chicago Fire FC) yang menerima pendapatan $8.15 juta (RM35.8 juta) semusim.
“Saya mewakili Napoli selama 10 tahun dan turut membarisi skuad kebangsaan Itali. Saya memenangi kejuaraan Eropah, jadi saya tidak ada sebarang masalah untuk berada di bawah tekanan.
“Saya lebih suka bekerja daripada bercakap. Keputusan ini bukan kerana wang semata-mata, tetapi untuk mencari kehidupan baharu buat keluarga dan anak-anak saya,” katanya.
Namun, kemampuan Toronto FC untuk mengikat Insigne yang sedang berada pada prestasi terbaik dilabel sebagai detik terpenting buat MLS sekali gus menafikan tanggapan saingan ini sebagai destinasi persaraan buat mana-mana pemain hebat.
“Selepas menandatangani Lorenzo, profil kami makin meningkat. Kami dapat lihat adanya minat terhadap kelab ini,” kata Presiden Toronto FC, Bill Manning. – AGENSI