fbpx

Kerajaan tubuh Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PUTRAJAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan khas itu berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

“Pasukan khas ini akan berfungsi sebagaimana pasukan menguruskan pandemik Covid-19, dengan mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali seminggu iaitu setiap Isnin dan Khamis.

“Sidang akhbar juga akan diadakan selepas setiap mesyuarat berlangsung bagi memberi penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, langkah itu diambil ekoran cabaran peningkatan kos sara hidup akibat perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik antara Russia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan serta bahan api.

“Pasukan khas ini akan dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan dianggotai oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee.

“Turut menganggotai pasukan khas ini adalah, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali,” ujar beliau.

Tambah beliau, pegawai khusus di setiap kementerian juga akan dilantik sebagai pegawai rujukan untuk memberi maklum balas segera kepada Pasukan Khas yang diurusetiakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terkesan dengan serius akibat daripada kenaikan inflasi di seluruh dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN