PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa membuang air besar melalui perutnya yang ditebuk kerana menghidap caudal regression syndrome sejak lahir sehingga menyebabkan dia juga kini tidak boleh berjalan.
Muhammad Umar Rizqi Mohamad Zabdusofee, 3, yang juga anak bongsu daripada enam beradik telah menjalani empat pembedahan sewaktu usia kurang setahun melibatkan lubang punggung, usus besar untuk penggunaan beg stoma pada perut, usus terbelit dan kaki.
Ibunya, Siti Azrina Mansor, 40, berkata, punca utama penyakit yang dihidapi anaknya ialah pembentukan tulang belakang yang tidak sempurna yang memberi kesan kepada usus untuk membuang najis selain kakinya mengecil.
“Tulang belakang Umar bengkok atau paling mudah disebut seperti bonggol unta. Dia juga pernah melalui pembedahan lubang punggung disebabkan terlalu kecil, seterusnya pembedahan mengeluarkan usus besar pada perut untuk membuang najis.
“Selepas dua minggu, usus anak saya terbelit dan bocor serta perlu menjalani pembedahan sekali lagi. Untuk masalah kaki, dia pernah menjalani pembedahan dan disimen, tetapi tidak tahan apabila simen itu cepat tercabut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Suri rumah itu berkata, doktor masih berusaha untuk merawat kaki anaknya, namun dia dan suami, Mohamad Zabdusofee Mohamad Samsuddin, 46, mengambil keputusan untuk tidak meneruskannya.
“Berkemungkinan besar Umar tidak boleh jalan dan perlu menggunakan kerusi roda. Kita tak tahu kuasa Allah kerana sebelum ini pun doktor ramalkan dia tak boleh duduk sendiri, tapi anak saya mampu berbuat demikian ketika usia lima atau enam bulan.
“Kalau boleh jalan pun dengan tongkat kerana Umar memerlukan sokongan. Sebagai ibu, sudah tentu saya pun ingin melihat dia membesar dengan sihat dan mampu berjalan,” ujarnya.
Mengenai penggunaan beg stoma, Siti Azrina berkata, harganya agak mahal kira-kira RM100 lebih untuk 10 keping dan dia terpaksa menggunakan lampin pakai buang kerana lebih mudah penjagaan.
“Sudah tiga tahun saya menggunakan cara ini dan setakat ini, Umar tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang rawatan susulan. Doktor juga memantau buah pinggangnya.
“Walaupun Umar orang kelainan upaya (OKU) kerana hanya merangkak, tapi dia seorang kanak-kanak yang ceria,” ujarnya.