fbpx

Jadikan inflasi wadah untuk bersatu padu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

HARI ini, ramai bercakap tentang inflasi. Namun, saya percaya tidak ramai yang memahami apa itu inflasi dalam erti kata sebenarnya. Apa yang mudah difahami ialah kita kini berada dalam situasi harga barang khususnya makanan semakin meningkat.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan nilai wang yang kita miliki menjadi semakin mengecil. Kalau dahulu duit RM20 kita boleh makan pagi, tengah hari dan malam. Hari ini, rasanya mungkin kita memerlukan tambahan RM5 atau RM10 untuk berbuat demikian.

Ya, begitulah ‘pergerakan’ inflasi yang menekan sedikit demi sedikit kehidupan kita melalui ‘peningkatan harga yang berterusan secara umum’.

Inflasi ini boleh berlaku disebabkan oleh ketidakseimbangan bekalan yang ada berbanding permintaan serta pelbagai faktor pendorong kenaikan kos lain.

Inflasi ini suka atau tidak, akan berterusan berlaku sejajar dengan perkembangan dan kemajuan dunia. Namun, inflasi yang berbahaya adalah apabila berlaku kenaikan mendadak.

Wabak Covid-19 yang melanda sejak lebih dua tahun lalu melumpuhkan segala-galanya, cuaca ekstrem menyebabkan pengeluaran makanan dunia terjejas, manakala pencerobohan Russia ke atas Ukraine menambah keadaan menjadi lebih parah.

Jelas di sini, meskipun kita dalam keadaan hampir mencapai kemenangan selepas menewaskan virus korona, kita sekali lagi berhadapan dengan ‘virus inflasi’ yang turut mampu menyesakkan dada kepada sebilangan rakyat.

Oleh itu, apa jalan penyelesaikan yang boleh kita lakukan? Kita tidak boleh meletakkan sepenuhnya tanggungjawab ini kepada kerajaan kerana amat sukar bagi kerajaan membantu rakyat secara menyeluruh.

Secara realiti, kerajaan tidak boleh lagi memberikan subsidi secara pukal berikutan jumlah yang terpaksa ditanggung semakin meningkat. Pada tahun 2021 kerajaan membelanjakan RM15.5 bilion subsidi kepenggunaan meliputi item seperti petrol, diesel, minyak masak, LPG dan tepung.

Malah, Malaysia dijangka perlu menampung jumlah subsidi lebih tinggi bagi tahun 2022 yang boleh mencecah RM71 bilion dengan subsidi bahan api sahaja berjumlah RM30 bilion berikutan kenaikan harga minyak dunia.

Bagi menyalurkan bantuan pula, agihan secara saksama hampir mustahil memandangkan tekanan dan kesusahan bukan sekadar golongan B40 dan ke bawah tetapi juga M40.

Mengklasifikasikan B40 dan M40 juga menjadi tidak adil jika kita meninjau dari aspek mikro. Mungkin ada keluarga B40 mempunyai anak seorang tetapi lebih terbeban M40 yang memiliki tiga atau lima anak.

Dalam keadaan ini, eloklah kita terus mengukuhkan perpaduan dan kesatuan antara kita. Salinglah bantu-membantu golongan yang lemah seperti kita menjayakan kempen bendera putih semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu.

Kepada ahli politik pula, jangan jadikan inflasi isu politik murahan dengan mengusutkan lagi keadaan. Jika berasa bijak, kemukakan hujah dan idea tuntas untuk membantu rakyat.

Pilihan raya kelak, rakyat tahu parti mana yang layak untuk memacu negara ke arah masa depan yang lebih baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI