KEJAYAAN pemain Kedah menerapkan elemen ‘3D’ sepanjang 90 minit permainan menjadi kunci kepada kejayaan pasukan itu mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas Kaya FC pada saingan Piala AFC malam kelmarin.
Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, elemen ‘3D’ yang dimaksudkannya itu adalah keinginan (desire), keazaman (determination) dan disiplin (discipline).
Menurutnya, beliau gembira dengan karakter anak-anak buahnya dalam aksi itu yang dilihat sangat bertekad untuk menebus semula kekalahan kepada Bali FC dalam aksi sulung, Jumaat lalu.
“Kami tahu mengenai kekuatan serta kelemahan Kaya FC, jadi kami banyak bercakap tentang perkara itu bersama para pemain. Apabila kami bercakap mengenai perkara itu, para pemain dilihat faham tentangnya dan tahu apa yang perlu dilakukan.
“Jadi kami rancangkan sesuatu dan para pemain melaksanakannya dengan cukup baik. Apabila Fayadh (Zulkifli Amin) masuk pada separuh masa kedua, kami letak dia di belakang Ronald Ngah Wanja berbanding posisi biasanya di sayap dan ternyata strategi itu menjadi,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.
Pada perlawanan itu, Fayadh menjaringkan dua gol pada minit ke-56 dan 90, manakala dua lagi gol Kedah disumbangkan menerusi pemain import dari Jordan, Mahmoud Al-Mardi pada minit ke-62 dan Ronald pada minit ke-81.
Hasrat KDA FC untuk menang tanpa bolos bagaimanapun tidak tercapai apabila gawang mereka tetap dibocori pada minit ke-81 oleh pemain sayap KDA FC, Javier Gayoso.