KUALA LUMPUR – Bahagia menjawat peranan sebagai suami selepas berkahwin buat kali kedua, sejak dua tahun lalu, vokalis kumpulan Bunkface, Sam membuat pengakuan bakal dikurniakan anak ketiga Ogos nanti.
Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Annuar Mohd. Baharom sangat bersyukur dengan rezeki kurniaan Ilahi buat dirinya.
“Dalam perut isteri saya pun ada seorang lagi dan insya-Allah bayi perempuan. Anak pertama dengan isteri yang sekarang ini, Idris sudah pun berusia 11 bulan.
“Anak yang kedua (ketiga) akan dilahirkan pada Ogos. Sebenarnya, akan lahir lepas konsert Bunkface! 15 Years of Korang.
“Apabila saya jumpa doktor tempoh hari, dia cakap, ‘due’ isteri saya dekat dengan tarikh konsert. Insya-Allah, 5 Ogos isteri saya bersalin. Jadi, nanti saya akan ada tiga orang anak.
“Alhamdulillah Tuhan bagi rezeki. Bagi saya, kalau Dia nak bagi, kita terima tak boleh buat apalah. Kalau dah cukup, cukuplah,” kata Sam, 35, kepada Kosmo! Online.
Adik kepada aktres Siti Saleha itu ditemui pada sidang media konsert Bunkface! 15 Years of Korang di Zepp, KL, sebentar tadi.
Sementara itu, ditanya tentang hubungan dan tanggungjawab sebagai bapa dengan anak daripada bekas isteri, Aida Azira Husin, Sam memaklumkan, semuanya baik-baik sahaja.
“Alhamdulillah kami sentiasa berjumpa. Saya dan bekas isteri ambil giliran jaga anak kami secara bergilir-gilir. Seminggu saya jaga dan kemudian, giliran dia pula.
“Pergi sekolah pun di Shah Alam (tengah-tengah antara kediaman dan kami bergilir jaga). Tiada masalah. Budak itu pun gembira dan dia faham ada ibu tiri. Dia panggil ‘mummy’ dan dia sayangkan adiknya,” ujarnya.
Jelas Sam lagi, walaupun dia dan Aida tidak lagi bersama sebagai suami isteri, peranan ibu bapa kepada anak mereka tetap dilunaskan sebaik mungkin.
“Kita tak boleh pentingkan diri dalam hal ini. Kita tak nak perceraian memberi kesan buruk kepada anak.
“Kena pastikan anak faham, gembira dan tenang, sekolah dan nafkah semua cukup. Itu semua saya jaga, Alhamdulillah, Allah cukupkan.
“Sangat penting untuk saya berjumpa dengan anak bersama bekas isteri paling kurang seminggu sekali untuk seimbangkan kasih sayang. It’s all good dan memang tiada masalah,” ujarnya.
Konsert Bunkface 15 Years of Korang akan berlangsung di Zepp KL pada 30 dan 31 Julai 2022. Tiket untuk hari pertama sudah habis dijual dalam masa 11 jam selepas dilancarkan pada 14 Jun lalu.
Tiket untuk hari kedua masih boleh dibeli menerusi www.hitmanlive.com. – KOSMO! ONLINE