PADANG BESAR – Cubaan sindiket menyeludup ganja ke negara ini dijangka meningkat susulan keputusan Thailand ‘menghalalkan’ penanaman dan penggunaan bahan tersebut sejak 9 Jun lalu.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, pihaknya bagaimanapun belum mengesan berlaku peningkatan dalam kegiatan tersebut buat masa ini.
“Penawaran akan jadi banyak di Thailand, jadi saya menjangkakan akan berlaku peningkatan penyeludupan ke negara ini.
“Ini kerana biasanya ketum akan diseludup ke Thailand manakala ganja pula akan dibawa masuk ke Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir pada program pelupusan barang kes daun ketum di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Rimba Mas di sini hari ini.
Kata beliau, harga ganja didapati masih sama iaitu RM2,500 sekilogram.
“Buat masa ini tidak berlaku lagi penurunan harga ganja susulan perkembangan terbaharu itu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.