ANKARA, TURKI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun terjatuh dari balkoni sebuah bangunan di Turki dengan keadaan jatuh kepala dahulu sebelum diselamatkan seorang lelaki yang berada di situ, lapor akhbar The Sun, semalam.
Video kejadian kanak-kanak jatuh itu dirakam di bandar Amasya, utara Turki.
Mangsa dilihat melantun di atas bahagian belakang seorang pembeli yang berada di hadapan sebuah kedai sebelum jatuh ke atas lantai.
Pembeli itu, Ruhi Asci ketika kejadian sedang meninjau dari luar tingkap sebuah kedai ketika mangsa, Khatira Amiri tergelincir melalui pagar balkoni dan terkena bahunya.
Ruhi yang kelihatan terkejut kemudian berpaling dan mendapati bayi itu terjatuh di atas lantai konkrit berhampiran dengannya.
Ketika dia cuba memeriksa, ibu kanak-kanak berkenaan berlari keluar dalam keadaan panik.
Kedua-duanya kemudian bergegas membawa Khatira ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan lanjut.
Media tempatan melaporkan bahawa kanak-kanak lelaki itu bermain di balkoni pangsapuri berkenaan di tingkat satu apabila dia tergelincir melalui pagar.
Laporan mengatakan bahawa anak kecil itu kini berada dalam keadaan stabil bersama ibunya. Tidak jelas sama ada pihak berkuasa tempatan sedang menyiasat kejadian itu atau sebaliknya – Agensi