fbpx

Akta kawal tembakau masih tunggu kelulusan AGC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

BANGI- Akta baharu bagi kawalan tembakau dan rokok yang dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen Julai depan masih dalam proses menunggu kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, draf akta itu memerlukan masa memandangkan ia lebih bersifat holistik dan menyeluruh bagi memastikan isu tembakau dan merokok dapat dikawal sebaiknya.

“Kawalan tembakau selama ini tiada, ia merupakan Rang Undang-Undang (RUU) yang kita tunggu lama. Difahamkan, sudah ada di AGC dan tengah tunggu kelulusan.

“Kita jangka akan bentangkan dalam sesi Parlimen akan datang serta berharap semua pihak akan bersetuju,” katanya pada sidang akhbar sempena Seminar Kebangsaan Penyalahgunaan Bahan 2022 (PREVENT 2022) di sini tadi.

Katanya, sekiranya akta itu berjaya dibentangkan kelak ia mampu mengurangkan kemudaratan rakyat akibat tabiat merokok seperti penyakit strok, paru-paru serta kanser.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan, akta baharu bagi melarang kegiatan merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) ke atas generasi yang lahir selepas 2005 atau dikenali sebagai ‘Generational End Game’ (GEG) akan dibentangkan di Parlimen Julai depan.

Melalui peruntukan GEG ini, individu yang lahir pada 1 Januari 2005 dan seterusnya adalah dilarang merokok, membeli atau memiliki sebarang bentuk produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape.

Selain itu, tiada orang dibenarkan menjual produk merokok kepada golongan GEG ini.

Dalam perkembangan sama, Noor Azmi berharap agar pelaksanaan PREVENT 2022 dapat memberikan kesedaran kepada semua komuniti mengenai bahaya ancaman dadah.

“Jika gejala dadah terus berleluasa, tiada individu, keluarga ataupun masyarakat akan terus selamat. Ini bersandarkan realiti bahawa dadah mampu menguasai tubuh dan minda seseorang individu,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI