PETALING JAYA – Adik kepada Syamsul Yusof, Syafiq Yusof mengakui kehebatan abangnya itu yang ternyata berada dalam kelas tersendiri sebagai seorang pengarah filem.
Syafiq atau nama lengkapnya, Mohd. Syafiq Mohd. Yusof memaklumkan abang kesayangannya itu memiliki sentuhan emas sama seperti bapa mereka, Datuk Yusof Haslam berbanding dirinya yang masih mencari rentak dalam bidang pengarahan.
“Abang aku memang dari dulu ada sentuhan emas sama macam papa aku masa muda.
“Aku saja yang filem kadang-kadang laku, kadang-kadang tak laku (tertawa),” ciapnya menerusi Twitter.
Sungguhpun begitu, Syafiq percaya dengan kerja keras dan optimis untuk terus melakukan yang terbaik dalam bidang pengarahan.
“Tapi tak mengapa, rezeki itu ketentuan Tuhan. Yang penting kita jalan terus buak sebaik mungkin.
“Kadang-kadang naik, kadang-kadang jatuh tapi jangan pernah putus asa. Salut, Mat Kilau,” ciapnya lagi.
Syafiq turut mengikut jejak langkah bapa dan abangnya dengan mengarahkan beberapa buah filem seperti SAM: Saya Amat Mencintaimu, Desolasi, Penunggang Agama, Villa Nabila dan serta banyak lagi.
Terdahulu, filem terbaharu arahan Syamsul berjudul Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan telah mencatatkan kutipan pawagam RM18 juta dalam tempoh lima hari tayangan.
Filem terbitan Studio Kembara yang menelan kos pembikinan RM8 juta tersebut dibintangi pelakon hebat tanah air seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy dan Fattah Amin. – KOSMO! ONLINE