fbpx

Ubat perangsang seks, langsing badan antara dirampas bernilai RM4.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Ubat perangsang seks adalah antara 857 jenis ubat-ubatan dan supplemen kesihatan tidak berdaftar bernilai RM4.2 juta berjaya dirampas pihak berkuasa di Selangor setakat ini.

Rampasan produk haram itu dilakukan menerusi 124 serbuan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) negeri sepanjang tempoh sehingga bulan lalu.

Timbalan Pengarah (Farmasi) Kesihatan Selangor, Dzafarullah Daud berkata, kesemua serbuan itu dilakukan pihaknya menerusi hasil maklumat awam dan risikan pihaknya yang kebiasaannya selama dua bulan.

Katanya, rampasan itu melibatkan tiga kategori produk utama iaitu perangsang seks, pelangsingan badan dan memutihkan kulit atau wajah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati produk itu tidak berdaftar dengan KKM sekali gus mendatangkan risiko kepada masyarakat.

“Siasatan kes itu dijalankan mengikut  Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya ketika ditemui pada program Jelajah Scan, Sahih dan Selamat di Management & Science University (MSU) di sini, hari ini.

Jelas Dzafarullah, pihaknya turut menyaring dan menyekat 264 laman sesawang yang didapati melanggar peraturan ditetapkan sepanjang tahun lalu.

“Ia termasuk melibatkan kesalahan mengiklan dan menjual ubat-ubatan dan suplemen kesihatan yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

“Pendaftaran itu merupakan kaedah yang ditetapkan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 bagi menjamin keselamatan, keberkesanan dan kualitinya,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI