KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak mengetahui mengenai sebarang perjumpaan yang memintanya untuk mengundur diri sebagai Presiden UMNO.
Ahmad Zahid berkata, meskipun terdapat desakan mengenai perkara itu (mengundur diri dari Presiden UMNO), setiap pihak perlu mengikut peraturan parti yang telah ditetapkan.
“Kita mesti menghormati perlembagaan parti jika seseorang itu dipilih oleh perwakilan maka jika sesuatu permintaaan mahu dilakukan ianya ada peraturan parti yang memboleh atau tidak seseorang itu berada di sesuatu jawatan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas prosiding perbicaraan bela diri kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dihadapinya.
Semalam Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, dalam sidang akhbarnya menyambut baik penggugurannya daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO namun mencadangkan Ahmad Zahid untuk mengundurkan diri secara baik.
Beliau berkata, cadangan itu telah dilakukan terlebih dahulu pada Mei 2020 lalu yang diketuai Datuk Seri Mohamad Hasan serta disertai Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, cadangan tersebut dibuat bagi menyatakan kebimbangan kes-kes mahkamah yang dimiliki Ahmad Zahid sekali gus boleh menjejaskan imej UMNO. Jelasnya, peranan beliau sebagai MKT UMNO adalah untuk menjaga kepentingan dan perjuangan parti.
Dalam pada itu, ditanya adakah Tajuddin akan dikenakan sebarang tindakan, Ahmad Zahid berkata sekiranya Lembaga Disipin mendapat lapoan atau pernintaan menyiasat Tajuddin saranan lembaga itu akan dipertimbang dan diputuskan Majlis Tertinggi.
“Jika Lembaga Disiplin mendapat laporan atau permintaan atau sebarang siasatan untuk sesuatu tindakan dilakukan , maka apa juga saranan Lembaga Disiplin akan dipertimbang dan akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE